I. Solat Jamak
Solat jamak adalah salah satu daripada rukhsah solat (kelonggaran atau keringanan) yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada umat Islam yang bermusafir. Perbuatan menjamakkan solat bererti menghimpunkan dua solat (Zohor dengan Asar, atau Maghrib dengan Isyak) ke dalam satu waktu yang sama. Terdapat 2 kaedah menjamakkan solat fardhu, iaitu:
- Jamak Taqdim – dilakukan di dalam waktu solat yang pertama (Zohor atau Maghrib); dan
- Jamak Ta’khir – dilakukan di dalam waktu solat yang kedua (Asar atau Isyak).
Penerangan yang lebih mendalam berkenaan jenis-jenis solat jamak ini adalah seperti berikut:
A. Jamak Taqdim
Terdapat beberapa perkara yang perlu dititik beratkan untuk jamak taqdim, iaitu:
1. Niat
Niat jamak perlu dilakukan di dalam waktu solat pertama (Zohor atau Maghrib) ketika mengangkat takbir. Walau bagaimanapun, dibolehkan juga niat semasa solat yang pertama sekalipun semasa memberi salam. Jika niat diberikan hanya selepas salam, maka barulah ianya tidak sah.
2. Tertib
Cara yang betul adalah dengan melakukan solat pertama terlebih dahulu, diikuti dengan solat kedua sejurus selepas selesai yang pertama.
Contoh:
- Sekiranya anda ingin menjamakkan solat Zohor & Asar; solatlah Zohor dahulu, diikuti dengan Asar; atau
- Sekiranya anda ingin menjamakkan solat Maghrib & Isyak; solat Maghrib dahulu, diikuti dengan Isyak.
Rasional di sebalik tertib ini adalah kerana solat pertama telah pun masuk waktu, manakala solat kedua hanyalah sebagai penumpangnya.
Selain itu, harus diingatkan bahawa jika solat pertama terbatal kerana tidak sempurna syarat mahupun rukun, maka solat kedua juga akan ikut sama terbatal.
3. Berturut-Turut
Kedua-dua solat perlu dilakukan secara berturut-turut (muwalat) tanpa ada pemisah, seperti, pitam, terlupa, ataupun anda pergi mengerjakan perkara-perkara lain terlebih dahulu sebelum memulakan solat kedua, sama ada zikir, solat sunat, ataupun lain-lain perbuatan bukan ibadah seperti berborak-borak.
Rasionalnya adalah kerana dengan perbuatan menjamak telah pun menjadikan dua solat ini sebagai satu. Sekiranya terdapat aktiviti atau perbuatan lain di antara kedua-dua solat, maka secara automatik juga solat jamak akan menjadi tidak sah.
Namun begitu, pemisahan yang sekejap seperti azan, iqamah, dan berwuduk adalah dibolehkan.
4. Masih Dalam Musafir Sehingga Memulakan Solat Kedua
Perjalanan sebagai musafir perlulah berterusan sehingga sekurang-kurangnya pada waktu takbiratul ihram solat yang kedua. Oleh itu, sekiranya anda tiba ke tempat yang dituju semasa waktu solat yang kedua belum habis, ianya tidak menjadi masalah.
5. Kekal Dalam Waktu Solat Yang Pertama Dengan Yakin Hingga Solat Yang Kedua
Anda mungkin pernah berada di dalam situasi di mana waktu solat yang pertama (contohnya Zohor) hanya tinggal beberapa minit sebelum waktu solat kedua (Asar) tiba. Persoalannya, jika anda teruskan bersolat dan sebelum sempat mengerjakan solat kedua (Asar) secara jamak taqdim, azan waktu solat kedua pun berkumandang – adakah solat jamak anda sah? Jawapannya: tidak.
Oleh itu, amat penting untuk memastikan jika anda ingin mengerjakan solat jamak taqdim, tempoh masa yang tinggal sebelum waktu solat kedua masuk adalah mencukupi untuk menyempurnakan kedua-dua solat.
Sebagai alternatif jika situasi ini berlaku kepada anda, ubah niat anda kepada niat untuk solat jamak ta’khir, dan tunggu sebentar sehingga waktu solat kedua masuk. Ataupun, anda juga boleh untuk tidak melakukan solat jamak dan terus solat fardhu di dalam waktu masing-masing seperti biasa.
B. Jamak Ta’khir
1. Niat
Niat solat Jamak Ta’khir perlu dibuat di dalam waktu solat pertama (Zohor ataupun Maghrib). Sebagai contoh, sekiranya anda sedang memandu dan berhajat untuk solat jamak ta’khir, ambillah masa sekejap untuk berniat sewaktu anda berada di dalam waktu solat pertama.
Jika tidak berniat jamak sebelum tamat waktu pertama, maka solat yang pertama (Zohor atau Maghrib) wajib diqadha’ serta berdosa kerana dilengahkan.
2. Masih Dalam Perjalanan Sehingga Kedua-dua Solat Selesai Didirikan
Sama seperti solat Jamak Taqdim, perjalanan sebagai musafir perlulah berterusan sehingga waktu solat kedua. Jika tidak, syarat jamak akan hilang dan rukhsah solat akan terbatal.
3. Tertib (Tidak Wajib)
Sepertimana yang disebut di dalam kitab Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh – untuk Jamak Taqdim, tertib tidak menjadi satu kewajipan. Jika anda mengikut turutan, ia hanyalah dikira sebagai sunat dan bukannya syarat sah solat. Oleh itu, mana-mana solat dibolehkan dibuat dahulu. sama ada:
- Zohor dahulu, kemudian Asar;
- Asar dahulu, kemudian Zohor;
- Maghrib dahulu, kemudian Isyak; atau
- Isyak dahulu, kemudian Maghrib.
Sebab dibolehkan tidak mengikut tertib: Meskipun adalah lazim untuk bersolat mengikut urutan biasa (seperti Zohor kemudian Asar), pada waktu jamak ta’khir, hanya solat kedua yang ada solat berjemaah di dalam waktunya.
Sebagai contoh, Admin ingin berkongsi satu senario. Anda sedang bermusafir dan berniat untuk menjamakkan solat Zohor & Asar di dalam waktu Asar (Jamak Ta’khir). Setibanya waktu Asar, anda sampai di sebuah masjid dan anda dapati jemaah sedang memulakan solat Fardhu Asar secara berjemaah. Anda pula berhasrat mengikutinya untuk mendapatkan pahala solat Fardhu berjemaah.
Jadi di dalam situasi ini, anda bolehlah mengikuti solat Fardhu Asar berjemaah (tetapi dengan niat Jamak), dan setelah selesai memberikan salam, anda perlulah terus mendirikan solat Zohor pula tanpa mengikuti wirid & zikir.
II. Solat Qasar
Solat Qasar bermaksud memendekkan solat 4 rakaat kepada 2 rakaat, iaitu bagi solat Zohor, Asar & Isyak.
Manakala, solat Subuh dan Maghrib tidak boleh diqasarkan sama sekali.
Dalil utama membenarkan kita mengqasarkan solat adalah di dalam Surah An-Nisa’, ayat 101 yang bermaksud:
“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang.”
Syarat-Syarat Solat Qasar:
- Musafir telah melepasi sempadan pagar sempadan kawasan tempat tinggal (kariah), atau kawasan bangunannya jika kariah tersebut tidak berpagar.
- Tiada niat bermukim melebihi 4 hari, tanpa mengira perjalanan pergi dan balik. Jika ada niat untuk tinggal melebihi 4 hari, maka anda tidak lagi boleh qasar di tempat musafir itu, dan hak untuk bersolat qasar hanya dibolehkan ketika dalam perjalanan sahaja.
- Tidak solat berjemaah dengan berimamkan orang yang solat dengan sempurna rakaatnya (atau dalam erti kata lain, mengikut solat orang yang bermukim). Jika terikut, maka anda hendaklah mengikuti imam solat dengan rakaat yang cukup. Ataupun, jika ada orang bermukim yang menjadikan anda imam, setelah selesai salam anda disunatkan untuk memberitahu makmum dengan berkata “cukupkanlah solat kamu, aku adalah seorang musafir”.
- Masih dalam keadaan musafir ketika solat Qasar dilakukan.
Soalan: Adakah boleh untuk qasar sahaja tetapi tidak jamak? Sebagai contoh, anda berhenti untuk solat Qasar 2 rakaat untuk Zohor di dalam waktu Zohor, dan kemudian apabila masuk waktu Asar, anda berhenti untuk solat 2 rakaat Asar pula?
Jawapannya: Boleh, asalkan cukup syarat-syarat yang disebut di atas. Hal ini kerana Jamak & Qasar tidak wajib untuk digabungkan.
III. Solat Jamak & Qasar
Musafir adalah diharuskan untuk mengerjakan solat secara Qasar dan Jamak sekaligus. Kaedahnya sama sahaja seperti solat Jamak, kecuali ianya ditambah Qasar sahaja.
Contoh:
- Zohor (2 rakaat) & Asar (2 rakaat); atau
- Maghrib (3 rakaat) & Isyak (2 rakaat).
Soalan: Bolehkah saya solat jamak tetapi satu diqasarkan, dan lagi satu solat biasa?
Sebagai contoh, saya solat Jamak Zohor & Asar, tetapi solat Zohor dibuat 4 rakaat, manakala solat Asar diqasarkan kepada 2 rakaat?
Jawapannya: Boleh, kerana hukum menggabungkan jamak & qasar hanya sekadar harus, bukannya wajib.
Hal ini berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas R.A. ketika ditanya (yang bermaksud):
“Bagaimana halnya musafir, dia bersolat 2 rakaat ketika bersendirian dan 4 rakaat ketika mengikut imam yang bermukim? Dia berkata: Itulah Sunnah Rasulullah S.A.W.” ~ Riwayat Ahmad dengan sanad yang sahih.
Lafaz Niat Solat Jamak Qasar
A. Jamak Taqdim Beserta Qasar
1. Lafaz Niat Jamak Taqdim (Zohor & Asar)
Usolli fardhol zhuhri rok’ataini jam’a taqdiimin qosron lillahi ta’aala
(Sahaja aku solat Fardhu Zohor dua rakaat jamak taqdim serta qasar kerana Allah ta’ala.)
Usolli fardhol ‘asri rok’ataini jam’a taqdiimin qosron lillahi ta’aala
(Sahaja aku solat Fardhu Asar dua rakaat jamak taqdim serta qasar kerana Allah ta’ala.)
2. Lafaz Niat Jamak Taqdim (Maghrib & Isya’)
Usolli fardhol maghribi thalaatha roka’aatin jam’a taqdiimin lillahi ta’aala
(Sahaja aku solat Fardhu Maghrib tiga rakaat jamak taqdim kerana Allah ta’ala.)
*Lafaz solat maghrib sahaja yang sedikit berbeza berbanding solat Zohor, Asar & Isyak kerana “qasar” tidak disebut di dalam lafaz. Hal ini kerana solat Maghrib tidak boleh dipendekkan.
Usolli fardhol ‘isyaa’i rok’ataini jam’a taqdiimin qosron lillahi ta’aala
(Sahaja aku solat Fardhu Isyak dua rakaat jamak taqdim serta qasar kerana Allah ta’ala.)
B. Jamak Ta’khir Beserta Qasar
1. Lafaz Niat Jamak Ta’khir (Zohor & Asar)
Usolli fardhol zhuhri rok’ataini jam’a ta’khiirin qosron lillahi ta’aala
(Sahaja aku solat Fardhu Zohor dua rakaat jamak ta’khir serta qasar kerana Allah ta’ala.)
Usolli fardhol ‘asri rok’ataini jam’a ta’khiirin qosron lillahi ta’aala
(Sahaja aku solat Fardhu Asar dua rakaat jamak ta’khir serta qasar kerana Allah ta’ala.)
2. Lafaz Niat Jamak Ta’khir (Maghrib & Isyak)
Usolli fardhol maghribi thalaatha roka’aatin jam’a ta’khiirin lillahi ta’aala
(Sahaja aku solat Fardhu Maghrib tiga rakaat jamak ta’khir kerana Allah ta’ala.)
*Sama seperti niat untuk jamak taqdim, qasar tidak dilafazkan kerana solat Maghrib tidak boleh dipendekkan. Jadi, anda hanya perlu menyebut solat jamak.
Usolli fardhol ‘isyaa’i rok’ataini jam’a ta’khiirin qosron lillahi ta’aala
(Sahaja aku solat Fardhu Isyak dua rakaat jamak ta’khir serta qasar kerana Allah ta’ala.)
IV. Hikmah di Sebalik Solat Jamak & Qasar
Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
إن الله يحب أن تؤتى رخصـه كما يكره أن تؤنى معصـيته. رواه أحمد
“Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci dilakukan maksiat kepadaNya”. ~ Hadis riwayat Ahmad.
Antara hikmah-hikmah di sebalik dibenarkan menjamakkan & mengqasar solat adalah:
- Meringankan beban umat Islam dalam melakukan solat fardhu sewaktu bermusafir.
- Hadiah dan tanda Allah S.W.T. maha penyayang.
- Keringanan diberikan supaya solat dapat dilaksanakan di dalam apa jua keadaan (ini bersandarkan satu kaedah fiqh iaitu “masyaqqah tajlibu taisir” yang bermaksud “kesukaran melahirkan kemudahan”)
- Memberikan galakan kepada umat Islam untuk bermusafir di atas apa saja tujuan yang baik dan ziarah-menziarahi bagi menambahkan keimanan, mencari rezeki, serta mengeratkan hubungan silaturrahim sesama manusia tanpa mengira bangsa, keturunan, atau warna kulit.
No comments:
Post a Comment